Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Seludup dadah guna kurier, polis rampas syabu RM30.8 juta, senjata api dari 3 warga emas

Seludup dadah guna kurier, polis rampas syabu RM30.8 juta, senjata api dari 3 warga emas

BENTONG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 841.06 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggar bernilai RM30.8 juta dalam dua serbuan di sekitar daerah ini pada 20 Ogos lalu.


Semua dadah dirampas dalam sebuah rumah di Taman Anggerik, di sini, yang dijadikan stor oleh sindiket yang dipercayai turut terbabit pengedaran bahan terlarang itu untuk pasaran antarabangsa.


Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata dalam serbuan antara jam 9 hingga 11 malam itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki warga emas berusia antara 61 hingga 63 tahun di tepi jalan di dalam kawasan kampung Bukit Tinggi, di sini.


Hasil soal siasat, katanya serbuan susulan dilakukan di sebuah rumah di Taman Anggerik yang dijadikan stor oleh sindiket, di mana 841.06 kg syabu dianggarkan bernilai RM30.8 juta ditemukan.


Beliau berkata, semua syabu dengan anggaran harga RM36,000 sekilogram itu boleh digunakan 4.25 juta orang.


"Menerusi serbuan itu, polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock dalam kereta suspek serta selaras senjata api tiruan bersama empat kelopak peluru,.


"Turut dijumpai 50 peluru hidup, 17 peluru bersaiz 12 bore dan dua batang besi laras di dalam rumah yang dijadikan stor sindiket itu.


"Dari siasatan kami senjata dirampas kemungkinan digunakan sebagai jaminan buat suspek dalam melakukan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah," katanya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media di rumah kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, di sini, hari ini.


Ramli berkata, polis juga merampas sebuah kereta jenis Nissan Sunny dianggar bernilai RM5,000, wang tunai berjumlah RM1,564 dan sejumlah wang di dalam akaun bank RM6,623.65.


"Siasatan ke atas suspek membabitkan dua pekerja kebun durian dan seorang penganggur, tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


"Ketiga-tiga mereka disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan semua suspek direman tujuh hari sehingga 27 Ogos depan," katanya.


Mengenai modus operandi, beliau berkata, sindiket melakukan penyeludupan dan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier ke pasaran antarabangsa disyaki ke negara serantau, selain melakukan pengedaran pasaran tempatan.


"Sindiket dipercayai aktif awal tahun ini dengan suspek dipercayai mengambil dadah dari luar dan menjadikan rumah terbabit sebagai tempat simpanan dan bungkusan sebelum diedarkan.


"Kami percaya ketiga-tiga suspek bukan dalang sindiket ini dan polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Post a Comment for "Seludup dadah guna kurier, polis rampas syabu RM30.8 juta, senjata api dari 3 warga emas"